Kepentingan IT Dalam Pertanian: Teknik Pemprosesan Baja Organik

Teknik Pemprosesan Baja Organik

Telah diakui usaha menanam sayur mampu memberi pulangan yang lumayan.  Keuntungannya akan bertambah sekiranya bijak merancang bagi tujuan menjimatkan kos pengeluaran terutama dalam penggunaan baja.  Kos membaja dalam tanaman sayur agak tinggi berbanding dengan lain-lain tanaman.
Sisa tanaman dan habuk gergaji boleh digunakan sebagai media tanaman.  Bahan ini biasanya akan dibuang oleh pengusaha tanaman selepas memungut hasil.  Satu lagi bahan utama yang penting dalam pembuatan baja organik ialah sekam padi.  Sekam padi merupakan bahan organik yang baik untuk mengemburkan struktur tanah, tambahan pula bahan ini murah dan mudah didapati.  Penggunaan najis ayam juga sesuai untuk menggalakkan pembiakan dan kesuburan bakteria yang banyak membantu dalam proses pereputan.
Teknik pemprosesan
Sisa pertanian digaul dengan najis ayam, habuk gergaji dan sekam padi.  Campuran ini kemudiannya dilonggok meninggi kelihatan seperti busut.  Bahan campuran ini akan dibalik-balikkan selepas dua minggu dan bacaan suhu dibuat pada setiap minggu dengan menggunakan alat termometer.  Sewaktu proses pereputan berlaku, bahan campuran ini akan mengeluarkan suhu yang tinggi dan suhu akan dipantau sebanyak tidak melebihi 70 celcius.  Sekiranya suhu mencecah 70 celcius, siraman air perlulah dibuat untuk mengelakkan bahan ini terbakar dengan sendirinya.  Bahan-bahan organik ini mulai reput selepas satu bulan dan akan bertukar struktur keseluruhannya menjadi peroi dan berwarna hitam selepas enam bulan. Pada peringkat ini, baja organik ini sudah cukup reput dan boleh digunakan di ladang.
Kebaikan baja organik
Perbelanjaan membaja tanaman sayur berkurangan lebih dari 50%.  Rasa sayur yang dihasilkan juga lebih rangup dan manis terutamanya lobak merah dan kobis bunga.  Penggunaan baja organik dapat mengurangkan serangan musuh perosak.  Satu lagi kebaikan penggunaan baja organik ini ialah mengelakkan berlakunya pembaziran dan tidak mengamalkan pembakaran terbuka yang lazimnya diamalkan oleh kebanyakan petani.  Penggunaan baja organik juga membantu memulihan struktur tanah yang diusahakan secara intensif.  Struktur tanah akan menjadi gembur dan banyak mengandungi bahan organan.

No comments:

Post a Comment

Copyright © Kepentingan IT Dalam Pertanian Urang-kurai